[ad_1]

Fatin Nur Farhana Ruslan. Gambar kecil: Tangkap layar murid menghadiahkan minyak angin kepada gurunya sempena hadiah Hari Guru.
SHAH ALAM – Jika kebiasaannya guru dihadiahkan bunga atau pen sempena Hari Guru, namun lain pula kisah seorang guru Bahasa Melayu yang menerima hadiah unik berupa minyak angin daripada muridnya.
Menurut Fatin Nur Farhana Ruslan, hadiah istimewa yang diterimanya itu merupakan pengalaman pertama sepanjang empat tahun berkhidmat sebagai warga pendidik.
Beliau tidak menyangka video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya menjadi tular apabila rata-rata warganet menganggap pemberian hadiah itu sebagai idea menarik untuk dijadikan contoh sempena sambutan Hari Guru yang bakal tiba.
“Sebenarnya video tersebut merupakan hadiah tahun lepas… Saya baru kongsikan di media sosial tahun ini sebab Jumaat ini, 16 Mei adalah Hari Guru.
“Saya fikir mungkin boleh jadi idea kepada murid dan ibu bapa tentang hadiah yang boleh diberikan kepada guru, jadi sebab itulah saya memuat naik video berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, video berdurasi 22 saat yang memaparkan seorang murid lelaki berbangsa Cina menghadiahkan minyak angin Cap Kapak kepada gurunya mendapat perhatian ramai apabila rata-rata terhibur melihat situasi tersebut.
Ramai yang menyifatkan hadiah berkenaan bukan sahaja unik dan istimewa, malah sangat bermanfaat kepada guru bagi menghilangkan rasa sakit ketika mengajar.
Lebih menarik lagi, menurut Fatin, hadiah berbentuk minyak angin itu turut diberikan kepada guru-guru lain yang mengajar murid tersebut.
“Saya ada maklumkan kepada murid itu bahawa videonya tular dan dia sangat seronok. Dia siap beritahu, tahun ini nak beri hadiah yang sama dan nak buat video baharu.
“Katanya, dia nak bagi minyak angin jenis lain pula. Tapi sebenarnya, hadiah itu memang sangat praktikal buat kami para guru,” ujarnya.
Mengakhiri perbualan, Fatin turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik dan berharap hari bermakna itu menjadi dorongan untuk terus mencurah ilmu dengan penuh semangat dan dedikasi.
[ad_2]
Original Source link